Teks : Nurmazlen Mohd Johar
Hari terakhir persekolahan dalam bulan Ramadhan. Alhamdulillah selesai sudah majlis Khatam Al-Quran di Sk Kerayong. Seterusnya adalah penyampaian sumbangan kepada murid-murid yatim dan juga kepada murid-murid yang agak susah.
Kemudian sesi bersalam-salaman antara guru dan murid serta guru dan guru. Untuk semua murid SK Kerayong, mereka juga dapat sedikit DUIT RAYA dari pihak guru-guru. Guru-guru yang baik hati juga ada yang bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
Tamat sudah kesemua acara tersebut, keadaan kembali seperti biasa, masuk kelas dan p n p berjalan seperti biasa. Saya pun meneruskan p n p di kelas 1 Arif. Tiba-tiba datang Haziq murid 1 Cemerlang, 'Cikgu nah duit'. Saya pun tanya 'Nak buat apa?'. 'Nak beli warna' Haziq menjawab. Baru saya teringat, saya pernah membebel dikelasnya kerana tidak mempunyai keperluan alat tulis yang lengkap. Dia memberikan alasan ibunya tidak mahu membelikannya, jadi saya pesan jika dapat duit raya beri pada saya RM5 untuk saya belikan warna. Bukan saya tidak mahu belikan menggunakan wang saya, tetapi saya mahu dia menghargai apa yang dia beli menggunakan wangnya sendiri dan supaya nampak adil dikalangan murid-murid lain.
Hati saya begitu tersentuh, dia ingat kata-kata saya. Alhamdulillah. Saya difahamkan, ayahnya telah meninggal dunia dan ibunya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Kakak sahaja yang menguruskannya untuk kesekolah, jadi tidak hairanlah kadang-kadang pensel tak ada, baju kotor, duit tak bawa dan macam-macam lagi. Ibu pun tak pernah melihat bukunya apatah lagi untuk mengajarnya membaca dan mengira.
Ya Allah, bantulah aku untuk terus mengajar anak-anak yang sebegini. Berilah aku kesabaran dan terangilah hati mereka. Limpahkanlah rezekiku agar aku dapat membantu mereka.
No comments:
Post a Comment