Tuesday, 19 November 2013

MUSIM DEMAM dan AIR ZAM ZAM

TEKS : NURMAZLEN MOHD JOHAR

Kita tidak boleh lari dari perubahan cuaca yang boleh menyebabkan kesihatan kita terjejas. Sama sekali bukan menyalahkan ketentuan Allah, sebagai manusia biasa kita haruslah terima dengan redha. Bukankah sakit itu penghapus dosa? Walaubagaimanapun bukan juga bermakna kita biarkan diri kita terus sakit tanpa berusaha untuk kembali sihat.

Jika anak kecil demam, contohnya anak saya yang baru berusia 1 tahun 8 bulan, menyebabkan ibu bapa berasa sangat susah hati. Apabila kanak-kanak seusia begini demam, batuk dan selsema, mereka hanya tahu menangis dan sukar untuk membuang kahak, dan yang lebih membimbangkan akan berlakunya jangkitan kuman pada paru-paru. Kebanyakan kanak-kanak kecil ini  sememangnya sukar untuk makan ubat. Begitulah juga anak saya.

Anak saya Dhiya Zahraa tidak ketinggalan dijangkiti demam, batuk dan selsema baru-baru ini. Batuknya terlalu kuat hingga muntah terutama pada waktu malam. Selsemanya juga teruk, setiap kali terbersin memang banyak hingus yang keluar. Selepas tiga malam, masih berlarutan keadaan yang sama, batuk sehingga muntah, badan masih panas dan langsung tidak mahu bermain, suami saya membancuh susu Dhiya menggunakan air zam-zam, Alhamdulillah, selepas habis sebotol susunya, Dhiya beransur cergas, mahu berlari dan bermain. Dan malam tersebut Dhiya boleh tidur lena walaupun masih batuk dan selsema. Syukur yang teramat sangat. Hari-hari berikutnya, Dhiya masih diberi bancuhan susu dari air zam-zam, syukur pada Allah Dhiya beransur sihat.

Nabi S.A.W menjelaskan; " Sesungguhnya, air zam-zam ini air yag sangat diberkahi, ia adalah makanan yang mengandungi gizi".

Nabi S.A.W menambah; " Sesungguhnya, air zam-zam bermanfaat untuk apa sahaja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau minum dengan maksud engkau merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan engkau. Jika engkau engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah menghilangkan dahagamu itu. Itu adalah air dari tumit Jibril, minuman dari Allah untuk Ismail". (HR Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas).




No comments:

Post a Comment